Tuesday, June 28, 2011

Doa penenang hati,...

Tekanan emosi, jiwa dan perasaan itu merupakan lumrah hidup. Setiap orang pasti mengalami peristiwa yang menjadi punca emosinya tegang. Ini disebabkan pelbagai perkara. Itu semua ujian ALLAH SWT kepada semua makhluk-NYA. Sesiapa yang sabar dengan memohon agar ALLAH SWT membantunya dalam segala urusan, maka dia akan beroleh ganjaran dan syurga ALLAH.

Orang Islam sentiasa diuji dengan pebagai cubaan, kesedihan, kegelisahan, dan tekanan emosi. Dengan itu DIA akan meningkatkan darjat kita.

Firman ALLAH S.W.T: "DIAlah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah antara kamu yang lebih baik amalnya dan DIA Maha Kuasa (membalas amal kamu) lagi Maha Pengampun (bagi orang-orang yang bertaubat)."
– Surah al-Mulk: 2.

Antara perkara yang boleh dilakukan untuk meningkatkan ketenangan jiwa adalah memperbanyakkan amalan soleh seperti solat sunat, zikir, puasa, doa, membaca al-Quran dan sebagainya. Selain itu, meletakkan kecintaan kepada ALLAH, Rasulullah dan menyintai sesama muslim kerana ALLAH semata-mata.

Sabda Rasulullah s.a.w:

"Tiga perkara yang sesiapa mendapatnya akan merasakan kemanisan iman: Menyintai ALLAH dan Rasul-NYA melebihi segala-galanya, mengasihi seseorang semata-mata kerana ALLAH dan benci untuk kembali kepada kekufuran seperti membenci untuk dicampakkan ke dalam neraka."
– Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Sabda Rasulullah s.a.w:

"Jika ALLAH menghendaki kebaikan pada seseorang, dia akan mengujinya dengan musibah."
– Hadis riwayat al-Bukhari.

Antara rawatan kepada penyakit kejiwaan ini ialah:

1. Membaca al-Quran setiap hari.

2. Berdoa pada satu per tiga akhir malam dengan merayu agar ALLAH menenangkan jiwa.

3. Istiqamah membaca zikir khususnya zikir pagi dan petang.

4. Menjauhi maksiat.

5. Membanyakkan istighfar.

6. Memperbanyakkan membaca doa menjauhi kesedihan dan tekanan perasaan, iaitu:
Laailaha illallahul 'aziimul haliim laailaha illallahu rabbul 'arsyil 'aziim laailaha illalahu rabbus samaawaati wa rabbul ardhi wa rabbul 'arsyil kariim.

"Tiada tuhan selain ALLAH yang Maha Mulia lagi Maha Lemah Lembut. Tiada selain ALLAH. TUHAN 'arasy yang Agong. Tiada tuhan selain ALLAH. TUHAN langit dan bumi dan TUHAN 'arasy yang Pemurah."
– Hadis riwayat Muslim.

Menurut Anas bin Malik r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: Jika salah seorang daripada kamu kesedihan ucapkanlah:
Yaa hayyuu yaa qayyum birahmatika astaghits
"Wahai TUHAN yang Hidup yang Kekal. Dengan Rahmat-MU aku memohon pertolongan-MU."
– Hadis riwayat al-Tirmizi.

Menurut Asmak Binti Umais, Rasulullah s.a.w berkata kepadanya: Mahukah kamu aku ajarkan kalimah-kalimah yang boleh kamu ucapkan ketika dilanda kegelisahan? Bacalah:
ALLAHu rabbi laa usyriku bihi syaian
"Ya ALLAH TUHANku tidak akan aku sekutukan-NYA dengan sesuatu pun."
– Hadis riwayat Abu Daud.

Dan banyak lagi zikir-zikir lain yang boleh menenangkan kesedihan dan kegelisahan. Dapatkan buku-buku doa menurut al-Quran dan sunnah. Antaranya Hisnul Muslim, karangan al-Qahtoni dan al-Azkar karangan Imam al-Nawawi.

Wallahu a’lam.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment